Monday, 22 December 2014

LAKSAM KELANTAN

Assalamualaikum wbt...terima kasih kepada anda semua kerana sudi singgah di blog saya ni.Hari ini saya nak  kongsikan satu resipi menu tradisi Kelantan iaitu Laksam.Sebenarnya laksam ini saya buat semalam sebagai  juadah  sarapan pagi ....jemu jugak asyik pekena nasi jer kan.Laksam ni menjadi salah satu menu sarapan pagi di Kelantan selain Nasi Kerabu,Nasi Berlauk dan Nasi Lemak.Tapi biasalah....laksam yang jual kat kedai tu tidak begitu menepati citarasa saya ni....kekadang tu laksamnya keras,kuahnya terlalu cair ataupun rasanya kurenggg ummphhs...Sekarang ni kebanyakan laksam  di buat  di kilang bersama-sama dengan laksa....so bila dah buat dikilang sah-sah rasanya sudah tidak ori lagi.Resipi laksam ni saya ambil daripada ibu saya yang pakar membuat laksam.Dulu ibu saya berniaga laksam di pasar minggu.Tapi sekarang ni disebabkan faktor usia maka ibu saya tidak lagi berniaga.Tapi setiap kali kami adik beradik balik kampung ibu pasti akan sediakan laksam ni atas permintaan anak-anak.Risau memikirkan resipi ini akan lenyap seandainya ibu sudah tiada.. maka saya meminta ibu membuat demo membancuh sukatan untuk membuat laksam ini....terpaksalah saya sukat menggunakan jumlah yang tepat kerana kata ibu....orang zaman dulu-dulu masak main agak-agak jerr...Sekarang ni sayalah yang paling mahir menyediakan laksam dalam kalangan  adik- beradik saya.Walaupun kami semuanya 5 beradik perempuan!...selalunya saya akan buat laksam ni time hujung minggu atau cuti sekolah je...kalu time keja terkejar-kejarlah saya di dapur...saya akan buat laksam dan kuah pada sebelah malam,pagi tu tinggal nak panaskan kuah dan proses ulam dan sambal cili jerr...lagipun laksam masih lembik selepas dikukus...perlukan beberapa jam untuk mendapatkan tekstur yang elok.Ok jom kita semak resipinya.

 

LAKSAM KELANTAN

Sumber:Warisan Keluarga

Bahan-bahan:

500 gm tepung beras- selalunya saya guna Cap Bunga Teratai atau Cap Golden Coins

1 cawan tepung gandum

8 cawan air

Cara-cara:

1.Satukan kesemua bahan dalam satu bekas.Kacau hingga tidak bergentel dan tapiskan.

2.Panaskan kukusan  hingga airnya mendidih.Ambil  tudung periuk/ loyang sapukan minyak masak supaya tidak melekat .

3.Letakkan tudung periuk/ loyang tadi ke dalam periuk kukusan dan masukkan lebih kurang 2 senduk adunan tadi kedalam loyang (bergantung kepada saiz tudung periuk/ loyang).Perlu diingatkan laksam  ini tidak boleh terlalu tebal kerana apabila anda menggulungnya nanti ia akan pecah.

4.Kukus selama 7-10 minit.Angkat dan sejukkan sebentar sebelum digulung.Ulangi mengukus laksam sehingga siap.

 

Kuah

Bahan-bahan:

8 ekor ikan selayang-direbus bersama sedikit garam dan asam keping, sejukkan, dibuang tulang dan ambil isinya

350 ml santan pekat

300 ml air

1 labu bawang besar kuning*-kisar halus

8 ulas bawang merah*

2 ulas bawang putih*

1inci halia*

 1/2 sdt serbuk lada hitam

3 keping asam gelugur

Garam,gula dan serbuk perasa

Cara-cara:

1.Kisar isi ikan bersama sedikit air.Masukkan kedalam periuk.

2.Masukkan santan pekat bersama-sama dengan air dan bahan kisarke dalam periuk...kacau sebati,letakkan periuk di atas dapur dan  gunakan api yang sederhana.Anda perlu sentiasa mengacau kuahnya untuk mengelakkan ia berketul-ketul.

3.Masukkan asam keping,serbuk lada hitam,garam, gula dan serbuk perasa secukupnya,kacau hingga mendidih sesuaikan rasa dan tutup api.

Ulam-ulaman:

Tauge,kacang panjang,timun,bunga kantan,daun kesom,daun serai kayu

-Tauge dibuang ekornya,yang lain-lain tu dihiris halus.

Sambal cili:

10-15 biji cili api

Garam secukupnya

-Tumbuk kedua-dua bahan ini hingga hancur.

Kalau anda malas nak menyediakan sambal cili ni boleh juga  digantikan dengan sambal belacan ...ok aje

selepas siap dikukus....

 

 

 

Jemput makan...

 

 

Nota:

1.Selepas ditutup apinya,kuah mesti dikacau sekali-sekala sehingga suam untuk mengelakkannya berketul.

2.Untuk sambal cili,perlu dilebihkan garam kerana sambal ini agak kering.

3.Daun serai kayu akan menaikkan lagi aroma ulam-ulaman anda.

4.Lebih enak lagi  di makan bersama-sama sedikit belacan.

5.Untuk menghasilkan kuah yang sempurna ianya tidak boleh terlalu cair atau terlalu pekat...yang sedang2 jerrr..

 

Selamat Mencuba 

 

 


No comments:

Post a Comment